Mengajar Kanak-kanak untuk Beribadah

Ibu bapa boleh membantu kanak-kanak menjadi takzim dan merasai Roh dalam pertemuan sakramen.

Apabila Juruselamat melayani bangsa Nefi selepas Kebangkitan-Nya, Dia mengambil berat untuk melibatkan kanak-kanak dalam ibadah hebat yang berlaku. Dicatatkan bahawa “Dia mengambil anak-anak kecil mereka, satu demi satu, dan memberkati mereka, dan berdoa kepada Bapa untuk mereka.” Dia berfirman kepada orang ramai, “Lihatlah anak-anak kecilmu.” Orang dewasa melihat dengan kagum semasa malaikat turun “seakan-akan di tengah-tengah api; dan mereka turun dan mengelilingi anak-anak kecil itu, dan … para malaikat melayani mereka” (3 Nefi 17:21, 23, 24).

Anak-anak kita tidak ada di sana; tidak juga mereka hadir semasa pelayanan fana Juruselamat apabila Dia berkata, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku, dan jangan larang mereka: kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Tuhan” (Markus 10:14). Namun anak-anak kita juga berharga bagi Dia, dan hati mereka dapat disentuh oleh Roh Kudus. Salah satu peluang-Nya untuk menyentuh anak-anak kita adalah dalam pertemuan sakramen, iaitu pertemuan kebaktian kudus yang diadakan dalam nama-Nya bagi semua ahli Gereja.

Kanak-kanak Boleh beribadah dan Merasai Roh

Bahkan kanak-kanak kecil dapat mengalami perasaan indah dan kudus yang dianugerahi oleh Roh Kudus, dan semua kanak-kanak mempunyai keperluan dan hak untuk berbuat demikian. Supaya anak-anak kita merasai Roh, mereka perlu mengambil bahagian dalam pertemuan sakramen dan menjadi cukup tenang untuk merasai bisikan suara yang tenang dan lembut. Ia tidak selalu mudah, tetapi kita boleh ajar anak-anak kita untuk “tenanglah, dan ketahuilah bahawa Aku ini Tuhan” (Mazmur 46:10). Selain daripada menetapkan contoh ketakziman bagi kanak-kanak, ibu bapa, saudara mara, pengajar, dan pemimpin mungkin mendapati pendapat-pendapat berikut berguna dalam membantu kanak-kanak mengalami ibadah yang takzim.

Pengajaran beribadah yang takzim bermula di rumah. Lebih awal ajaran ini bermula dengan kanak-kanak kecil, ia lebih mudah. Kita perlu mengajar anak-anak kita betapa pentingnya untuk merasai Roh; apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan perasaan-perasaan istimewa dan kudus ini; dan bagaimana untuk mengenalinya. Kita juga boleh cuba menyediakan saat-saat tenang yang menjemput Roh di rumah. Banyak keluarga mengadakan persembahan rohani harian dengan pembacaan tulisan suci dan nyanyian rohani, sebagai tambahan kepada malam keluarga.

Ibu bapa boleh mengambil masa di rumah untuk menjelaskan kepada anak-anak kecil mengapa kita menghadiri pertemuan sakramen. Semasa doa keluarga kita boleh meminta Tuhan untuk membantu setiap kanak-kanak memahami apa yang kita cuba ajarkan kepada mereka.

Kita boleh mengingatkan anak-anak kita sebelum pertemuan Gereja apa yang akan berlaku dan bagaimana kita semua akan mengambil bahagian: “Kita memasuki gereja dengan senyap. Kita duduk bersama sebagai sebuah keluarga dan mendengar muzik pendahuluan. Apabila kita mendengar muzik, kita bersedia untuk pertemuan sakramen dan boleh merasai Roh. Ini satu perasaan gembira tentang kedamaian dan ketenangan.”

Kanak-kanak juga boleh diajar untuk mendengar dengan senyap selama beberapa minit persembahan muzik istimewa. Muzik adalah kenderaan Roh, dan kanak-kanak dapat merasai Roh itu walaupun mereka tidak memahami kata-kata muzik.

Membantu Kanak-kanak Mengambil Bahagian

Kanak-kanak semua umur boleh menikmati pengambilan bahagian dalam lagu rohani pada pelbagai peringkat. Kanak-kanak kecil suka mendengar frasa berulang dalam teks. Banyak lagu rohani kita mengandungi frasa atau korus sedemikian, dan kita boleh membantu anak-anak kecil untuk mendengar kata-kata itu. Jika kita membisikkan kata-kata yang akan datang ke telinga kanak-kanak, dia akan mendengar kata-kata itu semasa ia dinyanyikan. Contohnya, pada permulaan korus kita boleh berbisik, “Dengarlah ‘Yesus menunjukkan wajah-Nya yang senyum,’” dan kemudian lihat senyuman tersebar di muka kanak itu apabila jemaah menyanyikan kata-kata itu.

Semasa kanak-kanak membesar, mereka boleh belajar untuk menyertai nyanyian frasa-frasa istimewa ini. Kanak-kanak suka menyanyi, “O, betapa ajaib” atau “Puji Tuhan.” Secara beransur-ansur, kanak-kanak boleh menyertai bahagian yang lebih panjang, seluruh korus, dan akhirnya seluruh lagu rohani. Ia membantu jika kita berlatih di rumah.

Kanak-kanak yang boleh membaca sedikit boleh belajar untuk membaca lagu rohani dengan cara beransur-ansur yang sama, dan mereka mempunyai perasaan pencapaian yang hebat dalam melakukannya. Ini menetapkan satu pola untuk mereka supaya apabila mereka menjadi remaja, mereka akan lebih cenderung untuk terus menyanyikan lagu rohani.

Kanak-kanak boleh belajar untuk berdoa dari umur yang muda. Di rumah, dengan arahan dari ibu bapa, anak-anak kecil juga boleh melipat tangan dan tundukkan kepala mereka bersama seluruh keluarga. Perkara yang sama berlaku dalam pertemuan sakramen semasa doa pembuka, penutup, dan sakramen. Kita boleh membaca doa-doa sakramen yang indah dan bermakna di rumah dengan anak-anak, menjelaskan menurut tahap pemahaman mereka apakah maksud kata-kata itu. Ia mungkin berguna bagi beberapa kanak-kanak yang lebih besar untuk cuba menghafal doa-doa tersebut. Seperti lagu rohani, mereka akan “mendengar” kata-kata jika mereka tahu apa kata-kata itu. Kita juga boleh menjelaskan maksud sakramen dalam cara yang boleh difahami oleh anak-anak kita.

Membantu Kanak-kanak Menjadi Takzim

Banyak yang boleh kita lakukan untuk membantu anak-anak menghargai ucapan yang diberikan dalam pertemuan sakramen. Presiden Spencer W. Kimball telah menasihati: “Bisikan komen sekali-sekala untuk menjelaskan … pesanan pembicara boleh membantu kanak itu untuk mengaitkan apa yang sedang berlaku. Sebagai contoh, ayah boleh berbisik, ‘Itu ayah Gordy yang sedang berucap sekarang. Dia sedang bercakap tentang para-perintis.’”1

Dari semasa ke semasa ibu bapa juga boleh meringkaskan apa yang dikatakan dan menarik perhatian kanak-kanak kepada cerita-cerita tulisan suci yang mereka akan kenali: “Kamu tahu cerita ini! Ia tentang Abinadi dan Raja Nuh.”

Sudah tentu semua ini mesti dilakukan dalam bisikan yang lembut, ke dalam telinga anak, supaya tidak mengalih perhatian orang lain.

Sesetengah ibu bapa mungkin berfikir, “Anak-anak kami takzim sehingga sakramen diberi, dan kami rasa itu sudah cukup.” Tetapi seluruh pertemuan ditumpukan pada ibadah, dan anak-anak kita turut dijemput serta sepanjang masa itu. Kita mengambil sakramen untuk mengingati Korban Tebusan Juruselamat dan memperbaharui perjanjian kita dengan Dia. Ucapan-ucapan ini ialah tambahan kepada ingatan dan komitmen itu.

Anak-anak kita perlu merasai dan menunjukkan rasa hormat kepada para pembicara. Kita boleh menasihati anak-anak kita dengan penuh kasih: “Saya tahu kamu tidak memahami segalanya, tetapi pembicara akan memberitahu kita apa yang mereka rasa Tuhan mahu kita belajar. Saya akan membantu kamu memahami sedikit, dan kemudian kita akan berbincang lagi selepas kita pulang ke rumah.”

Apabila kita duduk bersama kawan-kawan penyelidik di gereja, kita ingin mereka merasai Roh dan bertukar hati. Anak-anak kita juga seperti penyelidik kita secara kiasan. Tidakkah kita menginginkan yang sama untuk mereka?

Membantu Kanak-kanak Merasai Roh

Ramai orang datang ke pertemuan sakramen dengan keinginan untuk mendekati Tuhan dan diilhami oleh Roh Kudus. Tingkah laku yang tidak takzim oleh para hadirin boleh mengalihkan perhatian orang lain dari keinginan untuk beribadah. Elder Alexander B. Morrison, yang melayan sebagai ahli Tujuh Puluh dari tahun 1989 ke 2000, memberitahu tentang pertemuan-pertemuan sakramen Afrika: “Semua orang, kanak-kanak dan orang dewasa, melihat pembicara dengan penumpuan yang kuat. Tidak ada gerakan di bangku, tidak ada yang pergi ke dalam dan keluar untuk minum air, tidak ada kunjungan ke tandas. Dalam keadaan sedemikian tahap kerohanian dalam pertemuan sakramen adalah tinggi.2

Kita tidak boleh paksa anak-anak kita untuk beribadah, tetapi kita boleh membantu mereka untuk berkelakuan dalam cara yang menjemput Roh. Setiap kanak-kanak adalah unik, sudah tentu, dan apa yang berkesan bagi satu anak mungkin tidak berkesan bagi yang lain. Tetapi ibu bapa yang bertekad dengan penuh doa untuk membantu anak-anak beribadah dan merasai Roh akan mendapati bahawa mereka berhak menerima wahyu dan ilham tentang perkara ini.

Selain daripada keluarga terdekat, orang lain boleh menggalakkan ketakziman dan kehormatan daripada kanak-kanak. Para pembicara boleh menggunakan bahasa mudah dan memasukkan cerita-cerita tulisan suci biasa. Pengarah muzik dan pemain organ boleh pilih muzik yang kanak-kanak akan mengenali dan menikmati. Pemimpin imamat boleh berusaha untuk memastikan pertemuan-pertemuan menjemput Roh Kudus untuk hadir.

Peluang yang Besar

Pertemuan kebaktian adalah peluang yang besar bagi kanak-kanak untuk belajar tentang kawalan diri dan kehormatan terhadap hak dan keperluan orang lain. Perkumpulan kudus ini adalah masa bagi kita semua untuk bekerja bersama membantu kanak-kanak belajar untuk merasai dan menginginkan pelayanan Roh Kudus. Kemudian semasa mereka membesar mereka akan memperoleh kasih sayang yang mendalam dan kekal kepada Juruselamat, kasih yang akan menyokong mereka di lorong yang lurus dan sempit untuk kembali ke tangan-Nya.

Ketakziman

 

“Kita perlu memperkuatkan pertemuan sakramen kita dan menjadikannya masa ibadah yang tulus. Galakkan roh ketakziman, suatu sikap di mana orang masuk ke dalam gereja dengan senyap dan takzim dan penuh fikiran. … Pertemuan sakramen sepatutnya menjadi masa penyegaran rohani bagi jemaah kita, di mana, pada hari Ahad, mereka berkumpul untuk mengambil sakramen dan memperbaharui perjanjian mereka dengan Tuhan.”
 

Presiden Gordon B. Hinckley, Persidangan Wilayah Pittsburgh Pennsylvania, Apr. 27, 1996, dipetik dari Ensign, Ogos 1997, 6; Julai 1997, 73.