Membantu Kanak-kanak Mendengar

Ketika anak-anak sangat kecil, kami selalu memilih tempat duduk di gereja yang mudah bagi kami jaga mereka. Beg lampin selalu dipenuhi dengan buku, krayon, dan alat aktiviti—peralatan untuk menenangkan kru kami yang sangat aktif dan lincah. Matlamat kami adalah untuk memastikan mereka senyap semasa pertemuan.

Tetapi apabila mereka lebih besar—umur sekolah rendah—kami memutuskan bahawa mereka bersedia untuk fasa baru. Kami andaikan dengan lebih banyak usaha sebagai ibu bapa, kami dapat membantu anak-anak kami menerima perspektif baru tentang pertemuan gereja dan belajar lebih banyak dari pesanan-pesanan yang disampaikan. Matlamat baru kami adalah untuk membantu mereka mendengar dan belajar semasa pertemuan gereja.

Pertama kami berbincang sebagai sebuah keluarga, bercakap tentang apa yang kami akan lakukan dan mengapa melakukannya. Kemudian kami alami “tempoh peralihan,” di mana kami tidak lagi membawa alat aktiviti ke gereja untuk mereka tetapi menggalakkan tiga anak yang lebih besar untuk mendengar.

Pada masa ini, kami banyak menyelami jiwa. Kami lebih sedar bahawa rumah kami perlu menjadi pusat pembelajaran rohani. Konsep-konsep injil yang diajar di gereja menjadi permulaan perbincangan di rumah kami; asas-asas yang diajar di rumah diperkukuhkan dan diperkayakan dengan kehadiran gereja. Oleh itu, kami harap anak-anak akan menghargai pertemuan sakramen dengan lebih lagi.

Kami dapati kami perlu bertumpu untuk membantu anak-anak kami mengembangkan kemahiran mendengar. Berikut adalah beberapa idea untuk melakukan ini, berdasarkan pengalaman kami:

  1. Adakan pengajaran malam keluarga tentang kepentingan mendengar dan bagaimana untuk mendengar. Bermula dengan membincangkan bagaimana untuk mendengar satu sama lain dalam perbualan. Lakon peranan situasi-situasi mendengar. Kemudian dalam minggu itu, jadilah diri sendiri pendengar yang baik kepada anak-anak anda. Tunjukkan kepada mereka betapa pentingnya untuk pembicara mempunyai kontak mata dengan pendengar dan untuk pendengar memberi perhatian penuh.
  2. Cipta situasi mendengar lain yang istimewa di rumah. Kami ada pita rakaman malam keluarga di mana anak-anak kami menceritakan kisah tulisan suci dan mengajar asas-asas injil. Mereka suka mendengar suara mereka sendiri, dan mereka memainkan pita-pita ini berulang kali. Membaca dengan lantang kepada anak-anak juga merupakan cara yang menakjubkan untuk mengajar mereka untuk mendengar. Merakam pilihan pembacaan kegemaran ini untuk kegunaan kemudian hari telah menjadi popular di rumah kami. Pita-pita rakaman bukan sahaja menghiburkan, tetapi ia juga mengajar asas-asas yang betul.
  3. Sebagai sebuah keluarga, bincangkan bagaimana teknik-teknik mendengar yang baik ini boleh digunakan dalam situasi mendengar secara kumpulan—terutamanya pertemuan sakramen. Jelaskan bahawa kontak mata, yang diajar dalam pengajaran pelayanan untuk pengajar, juga digunakan untuk para pendengar. Dalam pertemuan sakramen, tetapkan tabiat mendengar yang baik untuk anak-anak anda dengan melihat pembicara dan tidak membiarkan mata dan fikiran anda melayang.
  4. Di rumah, berusaha untuk memperdalamkan dan meluaskan pengetahuan anak-anak anda tentang frasa-frasa injil agar apabila mereka mendengar istilah-istilah ini dalam ucapan gereja, mereka dapat lebih memahaminya. Kebanyakan bahasa ucapan pertemuan gereja adalah dalam julat pemahaman kanak-kanak kecil. Mula dengan kata-kata seperti pembaptisan, perjanjian dan sakramen, sebagai contoh.
  5. Bantu anak-anak anda fahami tujuan dan kejadian dalam pertemuan gereja. Semasa malam keluarga, bincangkan peristiwa-peristiwa tertentu seperti berkat, penetapan dan sakramen. Kemudian bahagian-bahagian pertemuan ini akan menjadi tidak asing dan menarik bagi mereka.
  6. Tugaskan setiap anak satu ucapan khusus untuk diceritakan semula di rumah. Minta mereka menulis ringkasan satu atau dua ayat semasa pertemuan itu. Apabila ucapan-ucapan terlalu rumit untuk anak-anak yang lebih kecil, ibu bapa atau abang dan kakak boleh membantu menjelaskan dan merumuskan. Dengan cara ini seluruh keluarga terlibat, dan semua mendapat manfaat dari pengalaman itu.
  7. Mulakan satu fail keluarga atau buku skrap tentang cerita atau konsep-konsep menarik yang didengar dalam pertemuan-pertemuan gereja. Biarkan tajuk-tajuk itu mudah—jadikannya satu projek bahkan untuk anak yang bongsu. Benarkan mereka untuk menambah idea atau bahan-bahan mereka sendiri, Apabila pelajaran malam keluarga berpusat pada salah satu topik ini atau ucapan ditugaskan kepada salah seorang anak, kaji semula fail untuk bahan sumber.
  8. Nyanyikan lagu rohani di rumah untuk membantu anak-anak lebih berminat dalam muzik di pertemuan sakramen. Minta pemimpin muzik untuk senarai lagu rohani yang dijadualkan bagi pertemuan sakramen; kemudian berlatih bersama di malam keluarga. Ajar anak-anak untuk memberi perhatian kepada seni kata lagu-lagu rohani. Bincangkan pesanan-pesanan lagu rohani.

Jika kita sebagai ibu bapa berusaha dan mengambil masa, kita boleh membantu anak-anak kita lebih menghargai pertemuan gereja. Dan usaha yang kita labur sekarang dalam membantu mereka memperoleh kemahiran mendengar akan dibayar secara abadi.