(Hanya untuk orang bukan Islam)

Menyembah di Pertemuan Sakramen 

Disesuaikan dari satu ucapan yang diberi di mesyuarat latihan kepimpinan sedunia pada 21 Jun 2003. 

Pertemuan sakramen boleh dirancang dan dijalankan untuk membantu kita mengingati Tuhan dan Korban Tebusan-Nya. 

Oleh Penatua Russell M. Nelson 

Lembaga uskup dan presidensi cabang mempunyai banyak tanggungjawab yang boleh diwakilkan. Tetapi mereka tidak boleh mewakilkan tanggungjawab untuk pertemuan sakramen. Secara umumnya, mereka memimpin dan bertanggungjawab ke atas roh dan kandungan pertemuan-pertemuan tersebut. Pengajaran saya tentang pertemuan sakramen adalah khususnya kepada para uskup dan presiden cabang dan penasihat mereka—dan juga ahli-ahli Gereja yang menyertai pertemuan mingguan ini. 

Asas Ajaran 

Pertemuan sakramen ialah satu pertemuan bahagian atau cabang yang kita hadiri sebagai satu keluarga—unit asas Gereja. Keluarga dan ahli-ahli perlu tiba sebelum pertemuan sakramen bermula. Kita menghadiri, seperti yang Tuhan perintahkan, untuk menerima sakramen dan memperbaharui perjanjian kita. 

Dia memulakan sakramen untuk mengingatkan kita tentang Korban Tebusan-Nya. Apabila jamuan Paskah yang tersedia khas berakhir, Yesus mengambil roti, mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu kepada para Rasul-Nya, dan berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah” (Matius 26:26). “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku” (Lukas 22:19). Kemudian dia mengambil cawan itu, mengucapkan syukur, dan memberikan kepada mereka yang berkumpul di sekeliling Dia, dan berkata “Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku” (Lukas 22:20), “yang dicurahkan … supaya dosa mereka diampunkan” (Matius 26:28). “Lakukanlah … untuk mengenang Aku. Oleh itu setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu [mengisytiharkan] kematian Tuhan” (1 Korintus 11:25–26). Dengan cara ini, Dia mengaitkan sakramen kepada Penyaliban-Nya yang akan datang. 

Tuhan telah mengisytiharkan, “Inilah pekerjaan-Ku dan kemuliaan-Ku—untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia” (Musa 1:39). Kemudian Putera Tuhan dengan sukarela menyerahkan nyawa-Nya untuk melengkapkan kehendak Bapa-Nya. Oleh itu, kebaqaan menjadi kenyataan dan kehidupan abadi satu kemungkinan bagi semua yang pernah hidup di bumi. 

Kita mengingati Korban Tebusan-Nya dengan cara yang sangat peribadi. Kita membawa hati yang hancur dan roh yang menyesal ke pertemuan sakramen kita. Ia adalah kemuncak bagi pemeliharaan hari Sabat kita (lihat A&P 59:8–13). 

Doa-doa sakramen telah diungkapkan oleh Tuhan. Doa-doa tersebut mengandungi perjanjian dan suatu janji (lihat A&P 20:77, 79). Kita berjanji untuk mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus dan mematuhi perintah-perintah-Nya. Kita makan roti yang hancur sebagai peringatan akan tubuh-Nya. Kita minum air sebagai peringatan akan darah-Nya yang ditumpahkan untuk kita. Dan kita bersaksi bahawa kita akan selalu mengingati-Nya. Janji: kita akan sentiasa memiliki Roh-Nya bersama kita. Itu satu berkat! 

Merancang Pertemuan Sakramen 

Dengan memikirkan ajaran-ajaran ini, lembaga uskup dan presidensi cabang perlu merancang pertemuan sakramen dengan teliti untuk memastikan pertemuan-pertemuan bertumpu pada Tuhan dan Korban Tebusan-Nya, teladan-Nya, dan ajaran-ajaran injil. 

Jemputan untuk berucap harus diberikan dengan awal dan termasuk satu huraian jelas tentang topik yang ditugaskan dan masa yang diperuntukkan, bersama dengan tawaran untuk membantu. Mereka yang diminta untuk berdoa haruslah termasuk ahli-ahli yang tidak sering dipanggil. Elakkan tugasan doa yang diberikan oleh sepasang suami isteri di pertemuan yang sama. Ini menyampaikan satu pesanan pengecualian yang tidak disengajakan kepada mereka yang bujang. Dan ingatlah: doa bukanlah khutbah. 

Misionari yang akan pergi ke misi boleh diberi peluang untuk berucap dalam pertemuan sakramen. Ahli keluarga dan kawan-kawan mereka tidak dijemput untuk berucap. Dua atau lebih misionari yang akan pergi ke misi boleh berucap dalam pertemuan yang sama. Misionari yang pulang dari misi dan telah melayani dengan mulia harus dijemput untuk berucap dalam pertemuan sakramen dan diberikan masa untuk berkongsi pengalaman rohani dan memberi kesaksian. 

Pertemuan sakramen memberi peluang kepada para remaja untuk berucap secara ringkas tentang tajuk-tajuk injil yang ditugaskan. Pada masa yang lain, para anggota majlis tinggi akan ditugaskan oleh presiden pancang untuk berucap. 

Ahli-ahli boleh dipanggil untuk melayani sebagai penyambut dan penunjuk. Mereka boleh mengalu-alukan para penyembah dan mendudukkan mereka dengan selesa, sambil menyimpan beberapa tempat duduk belakang dan di lorongan bagi mereka yang berkeperluan khas. 

Bahan audiovisual seperti kaset video dan transparensi tidak boleh digunakan dalam pertemuan sakramen. 

Kadangkala ahli-ahli mungkin tidak dapat menghadiri kerana jatuh sakit. Dalam situasi seperti ini, para pemegang imamat boleh ditugaskan oleh uskup atau presiden cabang untuk memberi sakramen kepada mereka di mana mereka berada. 

Pertemuan sakramen biasanya akan termasuk: 

  • Muzik prelude (pendahuluan). 
  • Kata aluan dan pengiktirafan pemimpin yang mempengerusi dan wakil dari majlis tinggi, jika ditugaskan. 
  • Lagu rohani dan doa pembuka. 
  • Urusan bahagian atau cabang, seperti: 

—Melepas dan menyokong para pegawai dan pengajar. 

—Mengenali kanak-kanak yang mara dari Sekolah Primer, ahli-ahli yang dipanggil ke misi atau tugasan lain, pencapaian remaja putera dan remaja puteri. 

—Mengemukakan nama-nama saudara untuk menerima atau maju dalam Imamat Harun, nama-nama ahli bahagian atau cabang yang baharu. 

  • Penetapan ahli-ahli baharu. 
  • Lagu rohani sakramen dan pentadbiran sakramen. 
  • Pesanan injil dan muzik tambahan pilihan. 
  • Lagu rohani dan doa penutup. 
  • Muzik postlude (pengakhiran) . 

Mereka yang dilepaskan dan disokong tidak perlu dikemukakan secara individu. Mereka boleh dicadangkan secara kumpulan—pertama sekali bagi mereka yang akan dilepaskan, kemudian mereka yang akan disokong dalam imamat, dan mereka yang disokong untuk panggilan dalam badan sokongan. 

Pertemuan sakramen harus bermula dan berakhir tepat pada masa dan tidak harus terlebih rancang. Pertemuan doa tidak perlu diadakan sebelum pertemuan sakramen. Mereka yang mengambil bahagian harus duduk sekurang-kurangnya lima minit sebelum pertemuan bermula supaya mereka boleh bersedia secara rohani untuk satu pengalaman yang dimuliakan. Ketika masa yang sunyi itu, muzik pendahuluan dilembutkan. Ini bukan masa untuk perbualan atau penghantaran mesej tetapi satu masa meditasi yang penuh doa semasa para pemimpin dan ahli bersedia secara rohani untuk sakramen. 

Muzik 

Lagu rohani Gereja adalah muzik asas untuk penyembahan dan standard untuk nyanyian jemaah. Pilihan lain yang bersesuaian boleh digunakan untuk muzik prelude (pendahuluan) dan postlude (pengakhiran), muzik koir dan pilihan muzik istimewa. Lagu rohani pembuka dan penutup biasanya dinyanyikan oleh jemaah. Lagu rohani sakramen selalu dinyanyikan oleh jemaah. 

Secara ideal, setiap unit Gereja mempunyai satu koir, yang dijemput untuk menyanyi dari semasa ke semasa. Koir boleh memberkati kehidupan ahli. Sister Nelson dan saya mengingati penyertaan kami—bertahun-tahun yang lalu—dalam koir cabang kecil kami di Minneapolis, Minnesota. Apabila kami dan yang lain tampil untuk menyanyi, terdapat lebih ramai dalam koir daripada ahli-ahli yang tinggal di jemaah. 

Piano, organ, atau alat elektronik yang serupa ialah standard untuk digunakan dalam pertemuan Gereja. Jika alat muzik lain digunakan, penggunaannya haruslah bersatu dengan roh pertemuan. Alat muzik yang berbunyi kuat atau kurang takzim, seperti kebanyakan alat muzik pancaragam dan genderang, adalah tidak sesuai untuk pertemuan sakramen. Jika piano, organ, atau iringan tidak didapati, rakaman yang sesuai boleh digunakan. 

Nyanyian orang yang soleh adalah doa bagi Tuhan (lihat A&P 25:12). Terdapat ahli-ahli yang kelihatan keberatan untuk menyanyi, mungkin kerana ketakutan. Setiap kita harus melupakan ketakutan dan bernyanyi sebagai peluang untuk memuji Pencipta kita dengan penuh doa. Muzik dalam pertemuan sakramen adalah untuk penyembahan, bukan persembahan. Kita tidak harus membiarkan muzik kudus kita hilang daripada diri kita malah tidak membenarkan muzik sekular untuk menggantinya. 

Menjalankan Pertemuan Sakramen 

Lembaga uskup dan presidensi cabang bertanggungjawab bukan sahaja untuk merancang pertemuan-pertemuan ini, tetapi untuk mengacarakannya. Mereka harus melakukannya dengan takzim. Terdapat ahli dalam jemaah yang sedang berdoa untuk dorongan dan komunikasi halus dari syurga. Menubuhkan satu roh ketakziman akan membantu mereka menerima dorongan-dorongan tersebut. Ingatlah: ketakziman menjemput wahyu. 

Mereka yang mengacara pertemuan itu bermula dengan memberi salam yang mesra. Pengumuman yang terperinci lebih sesuai diuruskan pada masa lain. Kerana kita menjemput semua untuk datang kepada Kristus, kawan-kawan dan jiran-jiran sentiasa dialu-alukan tetapi tidak diharapkan untuk mengambil sakramen. Walau bagaimanapun, ia tidak dilarang. Mereka memilih untuk diri mereka sendiri. Kami berharap bahawa pendatang baharu di kalangan kita akan sentiasa berasa tergolong dan selesa. Kanak-kanak kecil, sebagai pewaris Korban Tebusan Tuhan yang tidak berdosa, boleh mengambil sakramen semasa mereka bersedia untuk perjanjian yang mereka akan buat dalam kehidupan pada masa kelak. 

Pertemuan-pertemuan kita sentiasa diacarakan sebagaimana dibimbing oleh Roh (lihat A&P 46:2). Kadang-kadang sesuatu yang tidak dijangka mungkin timbul di mana seorang pegawai yang mengetuai ingin menjelaskan atau membetulkan, sebagaimana didorongi oleh Roh. Jika tidak, tiada ulasan tambahan diberikan selepas pembicara terakhir berucap. 

Pentadbiran Sakramen 

Lembaga uskup dan presidensi cabang mengetuai Imamat Harun dalam bahagian dan cabang. Mereka, serta pembimbing kuorum, akan mengambil setiap langkah pencegahan untuk memastikan sakramen disediakan sebelum pertemuan itu dan bahawa penyerahan sakramen telah dirancang dengan teliti. Mereka yang memberi sakramen harus kelihatan terbaik dan berpakaian sesuai. Baju putih bukan sahaja nampak baik, tetapi ia adalah peringatan lembut tentang upacara kudus lain, seperti tatacara pembaptisan dan bait suci, di mana pakaian putih juga dipakai. 

Doa-doa sakramen harus dinyatakan dengan jelas kerana pendoa sedang memberi suara kepada perjanjian yang sedang dilakukan oleh orang lain. Kebersihan dan kesucian hati diharapkan daripada mereka yang berhak untuk memberkati sakramen. Pemimpin yang mengetuai pertemuan menerima sakramen terdahulu. 

Pertemuan Puasa dan Kesaksian 

Pertemuan puasa dan kesaksian diadakan sekali sebulan, biasanya pada Ahad pertama. Biasanya, bayi-bayi diberkati pada hari itu. Selepas sakramen, saudara yang mengacara akan memberi kesaksian yang ringkas. Dia kemudian menjemput ahli-ahli untuk memberi kesaksian yang ringkas dan tulus ikhlas tentang Juruselamat, ajaran-ajaran-Nya dan Pemulihan. Ibu bapa dan pengajar harus membantu kanak-kanak belajar apakah itu kesaksian dan bila ia sesuai untuk mereka menyatakannya. Kanak-kanak yang lebih kecil harus belajar untuk berkongsi kesaksian mereka di rumah atau di Sekolah Primer sehingga mereka cukup umur untuk memberi kesaksian yang sesuai tanpa bantuan dalam pertemuan puasa dan kesaksian. 

Penyertaan Peribadi 

Setiap ahli Gereja bertanggungjawab ke atas pengkayaan rohani yang boleh diperolehi dari pertemuan sakramen. Setiap orang harus bernyanyi dengan hati penuh syukur dan membalas “amin” dalam suara yang dapat didengar di penghujung suatu doa atau kesaksian. Kita merenung secara peribadi akan Korban Tebusan Yesus Kristus. Kita merenungkan kepentingan penderitaan-Nya di Getsemani dan Penyaliban-Nya di Kalvari. Pada masa ini, setiap kita harus “memeriksa diri” (1 Korintus 11:28) dan renungkan perjanjian-perjanjian peribadi yang dibuat dengan Tuhan. Pada waktu ini, kita merenungkan hal-hal kudus Tuhan. 

Saya bersyukur kepada Tuhan atas pertemuan sakramen dan segala yang dimaksudkan dalam hidup saya. Ia telah berulang kali menyalakan semula iman saya dan membenarkan saya memperbaharui perjanjian saya setiap minggu, membantu Sister Nelson dan saya untuk hidup dan membesarkan keluarga kami dalam cahaya injil yang mulia.