Apakah yang anda fikirkan apabila anda makan roti dan minum air sakramen atau apabila anda menyediakan, memberkati, atau memberi sakramen? Ramai di antara kita merenungkan perjanjian kita dan bagaimana kita hidup. Kita berfikir tentang dosa-dosa kita, berdoa untuk keampunan dan berazam untuk melakukan lebih baik.
Ini adalah aspek penting dalam tatacara sakramen. Tambahan pula, ada sesuatu untuk direnungkan juga—yang begitu mendalam dan spesifik sehingga ia adalah sebahagian doa sakramen sendiri. Iaitu mengingati Yesus Kristus, Putera Tuhan, Juruselamat dunia. Mereka yang makan roti berjanji untuk “makan sebagai peringatan akan tubuh Putera” dan untuk “selalu mengingati-Nya” (A&P 20:77). Begitu juga, mereka yang meminum air berjanji untuk minum “sebagai peringatan akan darah Putera” dan “bahawa mereka selalu mengingati-Nya” (A&P 20:79).
Pilihan untuk mengingati Juruselamat dan Korban tebusan dan pengorbanan-Nya adalah asas kepada tatacara ini. Seperti yang Elder Jeffrey R. Holland dari Kuorum Dua Belas Rasul ajarkan, “Dalam bahasa yang mudah dan indah dari doa-doa sakramen … perkataan utama yang kita dengar ialah ingat. … Apa yang ditekankan dalam kedua-dua doa ini adalah bahawa semua ini dilakukan sebagai peringatan akan Kristus. Dengan mengambil bahagian, kita bersaksi bahawa kita akan selalu mengingati-Nya, agar kita boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama kita.”[1]
Juruselamat menekankan perkara yang sama ini apabila Dia memulakan sakramen bersama para Rasul-Nya semasa Paskah di Yerusalem pada malam terakhir pelayanan fana-Nya—malam apabila dia menderita untuk kita di Taman Getsemani sebelum menderita sekali lagi di atas salib. Contohnya, selepas memberi mereka roti untuk dimakan, Dia berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diberikan untuk kamu: Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku” (Lukas 22:19–20; lihat juga Matius 26:26–28).
Semasa hari pertama Juruselamat di kalangan bangsa Nefi di Benua Amerika, Dia juga mengajar mereka tatacara sakramen. Sekali lagi, Dia mengarahkan mereka untuk mengambil bahagian dalam ingatan tubuh dan darah-Nya dan memberitahu mereka jika berbuat demikian, “ia akan menjadi kesaksian kepada Bapa bahawa kamu selalu mengingati-Ku” (3 Nefi 18:7). Dia kemudian berjanji kepada mereka, “Jika kamu selalu mengingat-Ku kamu akan memiliki Roh-Ku bersamamu” (3 Nefi 18:7, 11).
Betapa menakjubkannya berkat ini! Di dunia yang penuh cabaran dan kekacauan dan godaan yang sentiasa cuba menyesatkan kita, tidak ada kurnia yang lebih penting. Dengan memiliki Roh bersama kita, kita dapat “mengetahui kebenaran tentang semua hal” (Moroni 10:5). Itu akan memberi kita kuasa dan kebijaksanaan untuk menjalani cara Tuhan ingin kita hidup, membuat pilihan yang betul, melayani dengan setia, dan menjadi seperti Dia.
Semasa anda mengambil sakramen setiap minggu, apakah yang anda boleh lakukan untuk mengingati Dia? Apakah yang anda boleh lakukan untuk selalu mengingati-Nya—sepanjang minggu dan sepanjang hidup anda?
Saya menjemput anda untuk merenungkan soalan-soalan tersebut dan membuat komitmen untuk selalu mengingati Juruselamat. Anda akan kagum dengan bagaimana ia akan mengubah hidup anda.
[1] Jeffrey R. Holland, “This Do in Remembrance of Me,” Ensign, Nov. 1995, 68.