Walaupun kita berdiri sebagai saksi Yesus Kristus di segala waktu, dan dalam segala hal dan di segala tempat (lihat Mosia 18:9), kadangkala pengaruh-pengaruh di dunia di sekeliling bersaing untuk perhatian kita. Sakramen memberi kita peluang untuk menumpukan fikiran kepada Juruselamat tanpa gangguan.
Semasa sakramen, anda boleh memikirkan maksud dan keindahan tatacara itu. Mengambil bahagian dalam lambang tubuh dan darah Juruselamat dapat membantu anda merenungkan korban-Nya yang tidak terhingga dan korban tebusan-Nya. Semasa mengambil sakramen, anda memperbaharui perjanjian pembaptisan anda. Apabila berbuat demikian, anda boleh bertekad semula untuk selalu mengingati-Nya dan mematuhi perintah-perintah-Nya.
Anda boleh memperbaiki pengalaman sakramen anda dengan mempersiapkan diri secara rohani. Sepanjang minggu, pertimbangkan untuk mengkaji ucapan persidangan umum atau petikan tulisan suci yang membantu anda memberi tumpuan kepada korban Juruselamat dan penganutan anda sendiri. Semasa lagu rohani dan doa sakramen, tumpukan pada kata-kata yang anda nyanyi dan dengar, dan renungkan maksudnya.
Semasa sakramen, luangkan masa untuk memikirkan perubahan yang anda buat dalam kehidupan peribadi supaya menjadi lebih seperti Yesus Kristus. Selepas mengambil sakramen dengan layak, anda boleh merasa bersih dan suci, seperti hari pembaptisan anda.
Ingatlah Perjamuan Terakhir
Kita harus berfikir tentang korban tebusan Yesus Kristus dan kepentingan mengambil lambang-lambang tubuh dan darah-Nya dengan layak. Kita juga boleh memikirkan masa sewaktu Dia memberkati roti dan wain bersama Dua Belas Rasul-Nya.
Jonás A., umur 18, Morelos, Mexico
Fikirkan tentang Yesus Kristus
Semasa sakramen saya berfikir tentang perkara yang Juruselamat alami supaya kita boleh bertaubat akan kesilapan yang telah kita buat. Saya juga memikirkan semua berkat yang Dia telah berikan kepada saya dan mukjizat-mukjizat yang dia telah buat dan akan buat. Kita sangat diberkati untuk mengambil sakramen supaya dapat bertaubat akan dosa-dosa kita dan bertekad untuk buat lebih baik.
Andee B., umur 13, Utah, Amerika Syarikat
Renungkan Kata-kata Lagu Rohani Sakramen
Lagu rohani sakramen mengajar perkara yang kita harus fikirkan semasa sakramen. Contohnya, lagu rohani sakramen kegemaran saya, “Dalam Kerendahan Hati” (Nyanyian Rohani, no. 72), tertulis, “Biar jangan ’kulupakan, Engkau mati bagiku Dikala hati-Mu hancur. Di Kalvari, dipaku.” Mengingati sari kata lagu rohani sakramen semasa tatacara kudus ini membantu saya rasa kedamaian dan meningkatkan kesyukuran saya kepada Korban Tebusan Yesus Kristus.
Austin B., umur 15, Alberta, Kanada
Mengingati dan Mengenali
Tujuan sakramen adalah untuk memperbaharui perjanjian kita dengan Bapa Syurgawi dan untuk dibersihkan dari dosa-dosa yang kita telah bertaubat. Semasa sakramen, kita ingat korban Kristus demi kita dan merenungkan bagaimana untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita. Saya cuba berfikir tentang apa yang saya telah buat pada minggu lepas dan berapa baik saya telah mentaati perjanjian saya dengan Bapa. Saya mengenali dosa-dosa yang saya telah buat dan tumpukan pada cara saya boleh menggunakan Korban Tebusan untuk mengatasinya. Apabila saya melakukan ini, sakramen ialah satu pengalaman yang memperkuatkan secara rohani.
Abagail P., umur 14, Arizona, Amerika Syarikat
Beri Kesyukuran untuk Berkat-berkat
Semasa sakramen kita harus berfikir tentang betapa agungnya korban yang Juruselamat buat untuk kita dan miliki hati penuh dengan kesyukuran. Apabila saya mengambil sakramen, saya suka berterima kasih kepada Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya, Yesus Kristus, atas berkat-berkat yang diterima.
Elen S., umur 16, Paraíba, Brazil
Elakkan Fikiran Melayang
Saya ada kad kecil yang disimpan di dalam kitab suci yang saya tarik keluar setiap hari Ahad semasa sakramen. Ia terletak di kitab Mosia 18, di mana Alma menetapkan perjanjian pembaptisan. Kad ini mempunyai nota kecil, seperti “Bersyukur untuk Korban Tebusan,” ditulis di atasnya untuk membantu saya mengingati tujuan dan kekudusan sakramen. Mengkaji semula nota-nota membantu saya menjaga minda saya berfokus pada tujuan dan kesucian sakramen.
Alisha M., umur 19, Texas, Amerika Syarikat
Alihkan Fikiran Anda kepada Korban Tebusan
Semasa sakramen, fikiran saya dialihkan kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Ia susah bagi saya untuk menyatakan perasaan di sakramen semasa berfikir tentang Korban Tebusan Yesus Kristus. Saya tahu Yesus Kristus dipilih untuk menjadi Penebus kita. Saya tahu Dia hidup.
Nephi B., umur 20, Brazzaville, Republik Congo
Renungkan Perjanjian Anda
Ketika saya masih muda, satu-satunya perkara yang saya fikirkan semasa sakramen adalah bagaimana saya boleh menjadi senyap. Sekarang saya seorang pemegang imamat, saya faham bahawa untuk sakramen mempunyai makna dan membantu saya berkembang secara rohani, saya perlu merenungkannya. Saya berfikir tentang Korban Tebusan Juruselamat dan bagaimana Dia menunjukkan kasih kepada kita. Saya juga berfikir tentang bagaimana mengambil sakramen dapat menguatkan iman dan keinginan saya untuk memenuhi perjanjian pembaptisan saya.
Levi F., umur 19, Abia, Nigeria