Semasa saya kecil, saya yakin bapa saya mempunyai tangan terpanjang di dunia. Bila-bila sahaja salah seorang kami berbisik, merengek, mengenyit mata, atau melakukan apa-apa pun yang dianggap tidak takzim semasa pertemuan, kami disedarkan kembali pada ketakziman dengan ketukan di belakang kepala. Tidak kira di mana kami duduk dalam kumpulan keluarga kami di gereja, Ayah boleh menjangkau kami.
Pengetahuan bahawa kami tidak dapat lepas dari tangan ayah yang panjang, kami biasanya duduk seperti malaikat sepanjang pertemuan, tetapi menjadi senyap tidak membuat kami suka gereja.
Bertahun kemudian, saya menghadiri pertemuan sakramen Orang Suci Zaman Akhir yang pertama dan terkejut dengan kelakuan kebanyakan kanak-kanak. Jika ayah saya berada di sana, tangannya akan lenguh kerana cuba mengajar ketakziman kepada kanak-kanak di situ.
Kira-kira sepuluh tahun selepas kunjungan pertama ke pertemuan sakramen, saya sekali lagi duduk di gereja LDS, tetapi kali ini saya seorang ahli Gereja dan bapa yang sedang bergelut dengan anak-anak saya sendiri.
“Pastinya ada cara positif untuk mengajar anak-anak kita ketakziman,” saya berkata kepada isteri saya. “Saya tidak mahu mereka takut ke gereja seperti saya dahulu.”
Semenjak itu, isteri saya dan saya telah temui cara-cara untuk membantu empat anak kami, semuanya di bawah umur lapan tahun, menjadi takzim di gereja. Mereka bukan selalunya teladan ketakziman, tetapi kebanyakan masa mereka cukup takzim, dan apa yang lebih penting, mereka belajar untuk menikmati pertemuan sakramen.
Berikut adalah beberapa perkara yang kami pelajari semasa kami “mencuba” ketakziman di pertemuan sakramen. Idea-idea ini berkesan bagi kami; keluarga lain mungkin punyai cara yang berbeza tetapi berkesan untuk menggalakkan ketakziman.
Jadilah diri takzim
Adalah penting ibu bapa mengajar anak-anak mereka melalui teladan supaya ketakziman dalam pertemuan sakramen adalah penting. Kita tidak boleh mengharapkan anak-anak berkelakuan baik di gereja apabila kita sendiri tidak berkelakuan baik.
Semasa saya dalam lembaga uskup, saya berpeluang untuk melihat teladan yang ibu bapa tetapkan untuk anak-anak mereka di pertemuan sakramen. Ramai yang takzim, maka anak-anak mereka berbuat demikian. Tetapi saya juga lihat sebilangan ibu bapa yang berdiri di belakang gereja sambil mendukung bayi kecil, menggunakan masa itu untuk berbual dengan kawan-kawan. Yang lain pula, membaca, menulis atau sambung tidur. Anak-anak mereka biasanya tidak takzim.
Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab ke atas diri dan anak-anak kita untuk menjadi peserta aktif dalam pertemuan sakramen, bukan penonton yang tidak peduli. Kita perlu memberi perhatian kepada apa yang dikatakan oleh pembicara. Apabila kita pulang ke rumah, kita harus membincangkan ucapan-ucapan pertemuan sakramen dan apa yang kita pelajari darinya.
Ajar anak-anak anda
Selepas kami memperbaiki tingkah laku pertemuan sakramen sendiri, kami mengajar anak-anak bagaimana mereka harus berkelakuan dalam gereja.
Percubaan pertama kami adalah untuk membawa mereka ke ruang masuk apabila mereka tidak berkelakuan baik, ini perlu agar orang lain boleh menikmati pertemuan itu. Kaedah ini memberi hasil yang bercampur. Anak-anak kami yang bising tidak mengganggu ketakziman pertemuan itu, tetapi saya dan isteri terlepas banyak perkara dalam sakramen. Selain itu, anak-anak kami kemudian memutuskan bahawa kebebasan dan keseronokan di ruang masuk gereja adalah lebih dihasratkan daripada pertemuan sakramen.
Selepas mengkaji semula mengapa cara ini gagal, kami mengubah taktik dan cuba mewujudkan ketakziman pertemuan sakramen di rumah, bukan di gereja. Ketika malam keluarga dan pada masa lain pada minggu itu, kami melatih anak-anak kami untuk duduk dengan senyap. Apabila menumpukan pelajaran tentang tujuan pertemuan sakramen, kami menjelaskan kepada anak-anak kami tujuan mengambil roti dan air. Kami berbincang dengan mereka tentang pengorbanan Kristus dan menjelaskan bahawa pertemuan sakramen adalah masa untuk mereka fikir tentang Yesus.
Selepas hanya seminggu, kesan-kesannya dapat dilihat dan selepas tiga atau empat minggu, anak-anak kami yang lebih besar mula duduk secara senyap untuk kebanyakan pertemuan itu.
Ambil tindakan apabila mereka tidak takzim
Sudah tentu, anak-anak kami sekali-sekala tidak takzim, tetapi apabila mereka lakukannya, kami tahu kami perlu lakukan lebih daripada sekadar membawa mereka keluar ke ruang masuk. Ayah saya menunjukkan kepada kami dengan jelas bahawa dia inginkan kami di dalam gereja, bukan hanya di sekitarnya. Selepas mempertimbangkan cara-cara Ayah dan mendengar satu ucapan tentang disiplin, saya dan isteri sedar bahawa membawa anak-anak yang tidak takzim keluar dari pertemuan sakramen boleh menyelesaikan masalah dengan segera, tetapi ia tidak membantu mereka untuk mengelak perbuatan tidak takzim di masa depan. Kami bertekad untuk mengajar anak-anak kami bahawa menikmati pertemuan sakramen adalah lebih menyenangkan daripada sekadar menghadiri pertemuan sakramen.
Pada hari Ahad seterusnya, anak lelaki saya yang berumur dua tahun buat perangai yang teruk. Saya segera membawa dia keluar, tetapi kali ini saya tidak berhenti di ruang masuk. Saya cari sebuah bilik kosong, duduk di atas kerusi, dan memegang dia dengan tegas di atas paha saya.
Dalam satu minit dia mulai tenang dan meminta untuk dilepaskan. Reaksi awal saya adalah untuk menurunkannya, tetapi saya memutus untuk kekalkan dia di atas paha saya. Dia merungut, dan saya menjelaskan bahawa dia akan tetap berada di pangkuan saya, sehinggalah dia memutus untuk kembali ke pertemuan sakramen dengan takzim.
Bagi anak saya yang berumur dua tahun, sekatan seperti itu adalah nasib yang paling teruk. Selepas sepuluh minit merayu, menggeliat, dan menangis, dia sedar saya serius , dan dia bertanya jika dia boleh kembali ke pertemuan sakramen.
“Kamu akan diam, ya?” Saya bertanya.
Dia mengangguk.
“Jika kamu tidak diam, apa akan berlaku?” Dia menunjuk ke arah kerusi.
Kami kembali ke pertemuan itu, dan dia kekal diam. Ada masanya pada hari Ahad, dia dan anak-anak perempuan kami masih perlu dibawa keluar dari pertemuan sakramen, tetapi mereka sedar dengan cepat, mereka lebih suka kebebasan dalam pertemuan sakramen daripada terkurung oleh Ayah dalam bilik yang kosong itu.
Sememangnya, ia lebih baik, dan lebih mudah, untuk mencegah kelakuan tidak takzim daripada menanganinya di gereja. Kami tahu anak-anak kami tidak dapat mendengar atau memahami semua ucapan di pertemuan sakramen, jadi kami merancang aktiviti senyap bagi mereka apabila mereka mula hilang minat.
Semua anak kami, bahkan yang bongsu, suka membaca dan melihat cerita tulisan suci kanak-kanak bergambar yang diterbitkan oleh Gereja. Kami juga membawa krayon dan kertas kosong untuk anak yang lebih kecil melukis apabila mereka tidak dapat berdiam. Anak-anak yang lebih besar dibenarkan untuk melukis, tetapi kami menggalakkan mereka untuk melukis gambar yang berkaitan dengan ucapan yang diberikan.
Kami juga dapati permainan, makanan ringan, dan alat mainan biasanya mendatangkan lebih banyak huru-hara dan kekotoran dalam pertemuan.
Ingatlah mereka masih kanak-kanak
Kami tidak mengharapkan anak-anak kami untuk menjadi sempurna di gereja kerana kami tahu pada usia mereka kadang-kadang ia lebih daripada kemampuan mereka. Tetapi isteri dan saya mempunyai matlamat untuk menikmati pertemuan sakramen. Apabila salah seorang anak kami membuat perangai, kami menyelesaikan itu secepat mungkin dan tanpa terlalu banyak emosi.
Dan jangan terlalu stress dengan situasi itu Jika seorang anak kami lompat atau lari dengan senyap ke pentas gereja, kami cuba kekal tenang, menghalang tingkah laku mereka, membawa keluar jika perlu, dan memberitahu diri sendiri bahawa, suatu hari nanti—mungkin—kami akan mendapati kejadian seperti itu lucu.
Jika anda bersendirian dan dibebani oleh anak-anak, anda masih boleh mengekalkan ketakziman—dengan sedikit pertolongan. Apabila saya dipanggil ke lembaga uskup, isteri saya mengawasi anak-anak dengan sendiri. Selepas beberapa hari Ahad, dia mendapati tugas itu sangat berat dan memenatkan, jadi kami minta satu pasangan yang sudah bersara dalam bahagian kami untuk duduk bersama keluarga kami setiap hari Ahad. Mereka bersetuju, dan sekarang anak-anak kami suka duduk bersama “datuk nenek” mereka.
Dalam keluarga saya, kami cuba memastikan gereja ialah satu pengalaman yang positif bagi kami dan anak-anak kami. Dengan sedikit latihan, perancangan, dan banyak kesabaran, kami membantu anak-anak kami belajar untuk menghargai pertemuan sakramen dan melakukannya dengan takzim.